Bahan Sumber PdP

Pengenalan

Pengenalan Modul PdP

Berdasarkan Gelombang 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan tumpuan pada peningkatan prestasi sistem pendidikan negara. Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) adalah pentaksiran peringkat antarabangsa yang merupakan instrumen yang digunakan sebagai penanda aras kualiti pendidikan Sains, Matematik dan Bacaan. PPPM menyasarkan pada tahun 2015, Malaysia mencapai sekurang-kurangnya purata antarabangsa dalam pentaksiran berkenaan. Menjelang tahun 2025 pula, PPPM menyasarkan agar Malaysia berada pada kedudukan satu pertiga teratas dalam kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA.

Dalam usaha merealisasikan hasrat PPPM, Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik dibangunkan dengan berteraskan pembentukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Peningkatan KBAT dalam kalangan murid adalah kritikal bagi memastikan murid dapat menjawab soalan TIMSS dan PISA dengan baik. Dapatan TIMSS dan PISA jelas menunjukkan murid di Malaysia lemah dalam domain kognitif yang melibatkan KBAT seperti menaakul, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

Bahan sumber PdP Sains dan Matematik ini dibangunkan berasaskan gabungan kerangka kurikulum kebangsaan dan juga Kerangka Kerja TIMSS dan PISA yang berteraskan KBAT. Beberapa tajuk seperti Kebarangkalian bagi mata pelajaran Matematik dan Sains Bumi bagi mata pelajaran Sains perlu diajar kepada murid-murid yang bakal menduduki TIMSS dan PISA memandangkan tajuk-tajuk ini dinilai dalam pentaksiran yang berkenaan.

Guru perlu menggunakan bahan sumber ini dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah atau di masa lain yang telah diperuntukkan. Usaha ini penting dalam memastikan murid dibekalkan dengan kemahiran berfikir, kritis dan kreatif serta dapat meningkatkan pencapaian negara seperti yang dihasratkan oleh PPPM.

TIMSS merujuk kepada Trends in Mathematics and Science Study. Kajian ini dijalankan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA).

PISA merujuk kepada Programme for International Student Assessment. PISA dikelola oleh Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), sebuat organisasi dibawah NCES dan berpusat di US.

Bahan Sumber PdP Matematik mengandungi 32 modul yang dibangunkan berasaskan gabungan kerangka kurikulum kebangsaan dan Kerangka Kerja TIMSS dan PISA serta berteraskan KBAT. Selain modul konten, terdapat empat modul umum iaitu Penyelesaian Masalah, Motivasi, Kemahiran Belajar, dan Penaakulan. Guru disarankan menggunakan modul-modul ini sebagai usaha meningkatkan pencapaian murid dalam aspek konten, meningkatkan motivasi dan juga KBAT dalam kalangan murid.

Terdapat empat bahan utama bagi setiap modul yang dibangunkan iaitu Persembahan Powerpoint, Persembahan Prezi, Panduan Guru dan Pentaksiran.

Persembahan Powerpoint dan Persembahan Prezi, yang berasaskan kandungan yang sama, bertujuan memberikan pilihan kepada guru untuk menyesuaikan dengan minat dan kecenderungan murid mereka. Kandungan dalam kedua-dua bahan ini membolehkan guru membuat pilihan serta menentukan kesesuaian penggunaannya berdasarkan tahap kebolehan dan pencapaian murid yang pelbagai. Dalam hal ini, guru perlu menggunakan pertimbangan profesional mereka.

Panduan Guru bertujuan memberikan panduan penggunaan Persembahan Powerpoint dan Persembahan Prezi kepada guru. Penerangan terperinci tentang kandungan dalam Persembahan Powerpoint dan Persembahan Prezi memudahkan guru untuk merancang dan melaksanakan PdP dengan lebih berkesan dan bermakna.

Pentaksiran bertujuan memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan KBAT mereka melalui soalan yang pelbagai bentuk dan tahap. Soalan dalam Pentaksiran dibangunkan berasaskan kepada tiga tahap pencapaian dan menggunapakai ikon yang berikut:

emas  perak  gangsa

Pengkelasan soalan ini dilakukan bagi mengambil kira tahap kebolehan dan pencapaian murid yang pelbagai. Soalan Emas disediakan bagi murid yang mempunyai tahap penguasaan yang cemerlang. Soalan Perak disediakan bagi murid yang mempunyai tahap penguasaan yang baik dan seterusnya soalan Gangsa disediakan bagi murid yang mempunyai tahap penguasaan yang rendah ke sederhana. Seperti Persembahan Powerpoint dan Persembahan Prezi, guru perlu menggunakan pertimbangan profesional dalam menentukan kesesuaian soalan yang akan diberikan kepada murid mereka.

akan dikemaskini

akan dikemaskini

 

banner3